Oleh: Editorial Penggerak Daily
Kerajaan menggalakkan untuk para pekerja terutama yang berada di kawasan zon merah untuk membuat ujian saringan (swab test) COVID-19.
Sedia maklum, ujian melakukan swab COVID-19 sememangnya memerlukan kos tinggi. Sehubungan itu, saringan COVID-19 untuk para pekerja boleh dilakukan secara percuma menerusi panel perkhidmatan yang dilantik Pertubuhan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ia selepas Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso diperluaskan kepada semua pencarum di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Swab test COVID-19 ini boleh dijalankan melalui kaedah Subsidi Saringan Prihatin dengan kos hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu. Hanya saringan melalui panel perkhidmatan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO.
Terdapat dua cara iaitu sama ada guna kaedah Janji Temu dengan Panel Perkhdimatan PERKESO atau Subsidi Saringan Prihatin (PSP).
Jika mahu guna kaedah Janji Temu, majikan perlu menghubungi panel perkhidmatan PERKESO
Majikan boleh menjalankan ujian saringan untuk pekerja melalui panel perkhidmatan yang dilantik oleh PERKESO dengan membuat janji temu untuk saringan. Majikan perlu mengemukakan Lampiran 1 yang lengkap dan menetapkan janji temu saringan bersama panel perkhidmatan melalui https://shop.doctor2u.my/perkeso-booking.
Saringan tanpa janji temu tidak akan diterima. Saringan melalui panel perkhidmatan ini adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO. Direktori Panel Perkhidmatan yang didapati di Portal PSP.
Untuk kaedah Subsidi Saringan Prihatin, majikan perlu bayar dahulu kemudian boleh membuat tuntutan di PERKESO. Subsidi yang ditanggung PERKESO adalah maksimum RM 150 seorang.
PSP Perkeso ini terbuka kepada pekerja asing dan tempatan dalam semua sektor dan industri. Pencarum yang pernah menjalani saringan PSP sebelum ini boleh menjalani saringan semula selaras dengan pengumuman yang telah dibuat.
Sumber: PERKESO