Categories
Berita

CERDIK PANDAI PERLU KEKAL MERENDAH DIRI

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah agar golongan cerdik pandai di negara ini kekal merendah diri dan tidak bersifat sombong meskipun telah mendapat kejayaan.

Titah baginda, graduan juga perlu mengambil pelajaran daripada pepatah Melayu iaitu ‘ikut resam padi, semakin berisi, semakin tunduk’.

“Pepatah ini mengajar kita menjadi insan tawaduk, yang memiliki kerendahan hati meskipun dirinya sarat dengan ilmu dan pengalaman.

“Saudara saudari adalah lambang keberhasilan UTM (Universiti Teknologi Malaysia) melahirkan graduan berkualiti tinggi seperti yang didambakan dalam Pelan Strategik Universiti, enVision UTM 2025,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen Ke-66 UTM, di sini hari ini.

Berangkat sama, Pro Canselor UTM, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Majlis berkenaan yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini menyaksikan seramai 7,934 graduan menamatkan pengajian mereka di UTM, termasuklah 755 graduan antarabangsa dari 42 buah negara seluruh dunia.

Raja Zarith Sofiah yang juga merupakan Canselor UTM turut bertitah agar pencapaian cemerlang dan luar biasa UTM menjadi titik tolak kepada prestasi keberhasilan yang lebih tinggi.

“UTM telah melakar kecemerlangan luar biasa sejak 50 tahun yang lalu, berkat perjuangan insan-insan terdahulu dan masa kini yang gigih membina nama UTM di persada antarabangsa dan tempatan.

“Universiti ini menjadi institusi pendidikan dan penyelidikan ulung yang berfokuskan bidang sains, teknologi dan kejuruteraan. Ramai rakan industri percaya bahawa graduan UTM memiliki upaya menjadi pekerja mahir yang dapat membawa kemajuan kepada dunia pekerjaan dan sektor ekonomi,” titah baginda lagi.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *