Oleh: Editorial Penggerak Daily
Pulau Payar, 28 Okt – Lima individu lelaki warganegara berumur dalam lingkungan 20 hingga 57 tahun ditahan Pasukan Polis Marin dalam Ops Benteng Covid di sini semalam.
Kesemua lelaki tersebut ditahan atas kesalahan menembak ikan di kawasan Pulau Payar, Langkawi, Kedah pada jarak 0.2 BN dari daratan Pulau Payar. Menyedari kehadiran pihak polis, kelima lima saspek bertindak membuang peralatan menembak ikan ke laut.
Menurut Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi, DSP Rohizan Bin Mohamad Saaid tangkapan itu dibuat semalam pada jam 1 petang setelah botronda PSC 18 menerima maklumat dari orang awam.
“Antara barangan lain yang turut disita adalah sebuah bot aluminium berwarna biru berserta enjin sangkut 30HP, tong ikan dan 4 set alatan menyelam berserta ikan hasil pemburuan”, katanya.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan yang dibuat adalah RM 70,000.00 dan kesemua tangkapan dan rampasan diserah kepada Jabatan Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut”
“Semua ditahan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 43(1)(a), Akta Perikanan 1985; berada dalam taman laut atau rizab laut di perairan Malaysia tanpa mendapat kebenaran secara bertulis daripada Ketua Pengarah-(a) menangkap ikan atau cuba menangkap ikan.”
Rohizan berkata, kawasan Taman Laut adalah zon larangan bagi sebarang aktiviti menangkap ikan menurut peruntukan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1994).
“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan menangkap ikan di kawasan larangan Taman Laut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.”
PenggerakDaily