China menegaskan negara itu ‘bersedia untuk perang’ berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) menghantar 11,000 anggota tenteranya ke Pasifik Barat bagi menyertai latihan ketenteraan secara besar-besaran.
Difahamkan, tentera AS sudah memulakan latihan Exercise Valiant Shield selama 10 hari di Guam membabitkan pasukan tentera darat, laut dan udara bagi melatih tentera mempertahankan wilayah Pasifik.
Tindakan AS menghantar kapal perang terbesar dan 100 pesawat ke wilayah dikuasai negara itu di Pasifik Barat itu mengundang kemarahan China yang kini mengumumkan ‘bersedia untuk berperang’.
AS juga meningkatkan latihan ketenteraannya di wilayah Indo-Pasifik.
Pengarah Operasi Maritim Armada Pasifik AS, Michael Boyle, berkata latihan itu memberi peluang kepada tentera AS meningkatkan ‘keupayaan ketika peperangan’.
Awal tahun ini, Komandan Angkatan Udara Pasifik AS, Charles Q Brown, berkata wilayah Indo-Pasifik adalah ‘keutamaan’ bagi Jabatan Pertahanan AS.
Global Times iaitu portal berita disokong Parti Komunis China, mendesak penduduk tempatan bersiap sedia menghadapi perang.
Portal berita itu menegaskan, China berdepan tuntutan wilayah dengan beberapa negara jiran yang dihasut AS untuk mencabar negara itu.
China pula mengadakan latihan ketenteraan di Laut China Selatan dan sekitar Taiwan selain mengancam meningkatkan operasi sehingga ke Guam.
Terdahulu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, memberi amaran bahawa konflik China dan AS adalah satu ancaman yang nyata dan mendesak kedua-dua negara menghormati undang-undang antarabangsa.
China dan AS sebelum ini sudah menjalankan latihan ketenteraan di Laut China Selatan, wilayah maritim yang berdepan isu tuntutan bertindih.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper, mengumumkan pelan memperluaskan Angkatan Laut Amerika dengan pelbagai kapal, kapal selam dan pesawat tanpa pemandu untuk menghadapi ancaman maritim China.
Ketua Pentagon itu berkata, pelan berkenaan termasuk menambah armada laut kepada lebih 355 kapal berbanding 293 ketika ini.
Sumber: Berita Harian