IPOH: Selepas mendapat perhatian menerusi lakonan dalam drama bersiri baru-baru ini, kini Cik B, anak kepada jutawan kosmetik Datuk Seri Vida, muncul dengan single pertamanya bertajuk ‘Tolonglah’.
Menerusi lagu yang dilancarkan malam tadi, Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen Muhamad Amin berkata, lirik lagu itu sarat dengan penceritaan berkisarkan kisah hidupnya selama ini.
Ujar remaja berusia 15 tahun ini lagi, dia kini mula memberanikan diri keluar dari zon selesa kerana sebelum ini berasakan dirinya sangat pemalu dan kurang keyakinan diri.
“Sebenarnya lagu ini sudah lama dibuat, sejak bulan Disember tahun lepas. Dan pada mulanya, saya nak keluarkan (lagu) lebih awal, tapi waktu itu rasa belum yakin, disebabkan masih malu dengan media dan orang ramai, bercampur dengan rasa takut.
“Bagaimanapun, sekarang sudah rasa semakin baik, dan saya tanam azam pada diri sendiri, yang ‘it’s time to shine‘.
“Saya sudah percaya dengan diri sendiri dan kurang malu berhadapan dengan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran single tersebut di kediamannya di sini.
“Lagu ini inspirasi tentang hidup saya, daripada kecil hingga dewasa saya. Bagaimana dulu saya kena dera dengan pembantu rumah, isu keluarga dengan ayah dan sebagainya,” terangnya mengenai single ‘Tolonglah’.
Kata Cik B, lagu tersebut merupakan hasil ciptaan dan lirik sepenuhnya oleh dia dan ibunya, dan tambahnya, dia bersedia terima sebarang kritikan.
“Saya dah biasa. Dari umur saya 12 tahun lagi, saya selalu kena kecam. Jadi, sekarang saya sudah imun dengan kecaman,” tambahnya.
Cik B berkata walaupun sering dibayangi aura ibunya, dia berharap lagu ini dapat diterima ramai dan memberi motivasi kepada mereka yang menghadapi pengalaman sama seperti dirinya.
Sumber: Awani