Pandemik COVID-19 telah menjadi pemangkin bagi pasaran ASEAN untuk mengguna pakai e-dagang lebih awal daripada yang dijangka, kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Ketua Pegawai Operasi Datuk Ng Wan Peng berkata sebelum pandemik, MDEC meramalkan pengguna e-dagang ASEAN akan mencapai 310 juta menjelang 2025.
“COVID-19 telah mendorong lebih ramai orang untuk memasuki ke dalam talian dan angka itu kini telah mencapai 340 juta,” katanya dalam ucapannya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dan Jocom MShopping Sdn Bhd di sini hari ini.
MoU itu akan membolehkan usahawan Perdasama di seluruh negara untuk memasarkan produk mereka ke China, Australia dan ASEAN dengan menggunakan pelbagai platform e-dagang melalui Jocom.
Ng berkata, bilangan pengguna e-dagang di ASEAN yang telah melepasi sasaran 2023 menunjukkan terdapat banyak potensi dalam pasaran tersebut.
“Apabila lebih banyak usahawan memasuki ke dalam talian, ini bermakna perniagaan boleh dikekalkan dan seterusnya menjamin pekerjaan bagi mereka dalam industri logistik serta penghantaran,” katanya.
Beliau menambah MDEC akan terus menilai pasaran bagi memastikan agar perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKSM) di negara ini dapat terus hidup dalam persekitaran ekonomi digital yang baharu.
Ketua Wanita Perdasama Putrajaya, Rohana Maamur berkata MoU ini akan membantu 15,000 anggota persatuan itu di seluruh negara untuk memasarkan produk mereka secara global, di tengah-tengah cabaran ekonomi pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Jocom MShopping, Joshua Sew berkata, kerjasama ini akan membantu dan mengembangkan perniagaan PKS Malaysia serta menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar.
Sumber: Bernama