JOHOR BAHRU: Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd. Zubil Mat Som mendedahkan terdapat peningkatan percubaan untuk membolosi sempadan perairan negara setiap malam oleh sindiket penyeludupan.
Menurut beliau, peningkatan percubaan itu dikesan berlaku khususnya selepas pembukaan semula sektor ekonomi negara apabila Malaysia mula memasuki fasa peralihan ke arah endemik, April lalu.
“Selepas ekonomi negara dibuka semula, kita kesan peningkatan cubaan untuk merentas sempadan negara memang berlaku setiap malam, namun majoriti daripadanya dapat dipatahkan.
“Akibat daripada penguatkuasaan yang kita jalankan, majoriti daripada percubaan itu sama ada dapat ditahan ataupun mereka berpatah balik setelah bot dinaiki mereka dikesan pihak berkuasa.
“Percubaan penyeludupan ini dikesan melibatkan migran dan juga barangan kontraban,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas Majlis Penyerahan Rigid Hull Fender Boat (RHFB) Kelas Perkasa kepada Maritim Malaysia yang diadakan di Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Zubil, perkara itu sudah dijangka akan berlaku ekoran terdapat permintaan iaitu ‘supply and demand’ di pasaran tempatan membabitkan kekurangan tenaga kerja di sektor-sektor tertentu.
“Perkara ini berlaku setiap malam antara pukul 8 malam sehingga 4 pagi, dan perkara ini akan berterusan selagi ada ‘supply and demand’, khususnya membabitkan sektor perladangan dan perkhidmatan.
“Sasaran utama sindiket penyeludupan ini adalah negeri-negeri di selatan tanah air iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan kerana jaraknya yang paling hampir, namun baru-baru ini kita dapat kesan ada cubaan menyeludup masuk sehingga ke negeri utara tanah air seperti Pulau Pinang,” ujarnya.
Sejak Januari hingga 10 Jun lalu, Maritim Malaysia telah menahan seramai 442 suspek terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan barangan kontraban dan juga pencerobohan oleh bot nelayan asing dengan rampasan bernilai RM55.8 juta.
“Kejayaan itu direkodkan melalui 76,026 pemeriksaan yang dijalankan sepanjang tempoh berkenaan,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, Mohd. Zubil turut memaklumkan pihaknya telah menerima sejumlah 27 unit RHFB dan akan menerima baki tiga lagi unit bot sama menjelang Ogos ini melalui perolehan yang bernilai RM46.5 juta.
“Bot jenis RHFB ini akan bertindak sebagai bot pemintas selepas Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan pergerakan bot-bot pancung yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan.
“Setelah sistem berkenaan mengesan pergerakan bot-bot itu, unit RHFB akan digerakkan ke lokasi terbabit untuk melakukan pintasan bagi menjaga kedaulatan dan undang-undang negara,” katanya.
Penggerak Daily