JOHOR BAHRU: Polis menemukan dadah jenis syabu seberat 20 kilogram (kg) dan 14,000 biji pil ekstasi bernilai RM1.25 juta dalam sebuah beg dan ditinggalkan di kawasan pantai hutan bakau, Parit Besar Laut, Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penemuan itu hasil soal siasat dijalankan terhadap enam suspek yang ditahan pada 13 dan 14 Oktober lalu kerana terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah ke Bengkalis, Sumatera, Indonesia.
Menurut beliau, soal siasat berkenaan turut membantu polis menjalankan operasi kedua pada 17 Oktober di kawasan kebun kelapa sekitar Muar.
“Menerusi serbuan kedua pula, polis berjaya menemukan 1 kg dadah jenis syabu bernilai RM42,560.
“Kedua-dua serbuan itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang tangkapan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah beliau, keseluruhan rampasan melibatkan sindiket berkenaan sejak operasi pertama pada 13 Oktober lalu membabitkan 37.53 kg syabu dan 23,905 biji pil ekstasi bernilai RM2.2 juta.
“Selain itu, polis turut menyita dua bot fiber berserta enjin bernilai RM35,000, sebuah kereta jenis Perodua Viva bernilai RM10,000 dan sebuah motosikal bernilai RM5,000.
“Kesemua suspek yang ditangkap masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut sehingga 20 Oktober ini manakala kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Pada 16 Oktober lepas, Ayob Khan menerusi satu sidang akhbar memaklumkan penangkapan enam suspek termasuk seorang wanita bersama anak saudara lelakinya menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Muar.
Dalam siri serbuan berkenaan, polis merampas 14.6 kg syabu dan 9,905 biji pil ekstasi bernilai kira-kira RM1 juta.
Penggerak Daily