Categories
Berita Jenayah Lifestyle Pendidikan

DADAH PSIKOAKTIF NPS DI PASARAN ASIA MEMBIMBANGKAN POLIS

Peningkatan permintaan terhadap dadah jenis methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baharu atau New Psychoactive Substances (NPS) di pasaran Asia membimbangkan polis.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kewujudan dadah itu menjurus kepada pembabitan kalangan belia.

“Pada 2009, terdapat 130 jenis dadah termasuk NPS tetapi pada tahun 2019 terdapat peningkatan iaitu sebanyak 892 jenis dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Program Projek Perintis Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah Substan dan Pelencongan Sosial di Dewan Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi dekat sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin.

Sementara itu, menurutnya, sebanyak 10 peratus daripada 14,000 jumlah tangkapan dadah pada tahun ini adalah kategori penagih berulang.

Katanya, sehingga kini seramai 509 sudah dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39 (C) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman penjara mandatori selama lima tahun.

“Pada April lalu, terdapat peningkatan daripada segi penangkapan mengikut Seksyen 39 (C) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kebanyakan kes jenayah seperti pecah rumah, rompak mahupun samun adalah membabitkan penagih dadah,” katanya.

 

Sumber: Metro Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *