KULAI: Daging yang dirampas pihak berkuasa dalam serbuan ke atas satu kartel yang menyeludup masuk daging sejuk beku akan dilupuskan sama ada ditanam atau dijadikan makanan untuk haiwan di zoo-zoo negara ini.
Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kanan (Bahagian Penguatkuasaan) negeri, Khalik Drahman memberitahu, namun sebelum itu status kesihatan daging berkenaan perlu diperiksa terlebih dahulu.
“Daging-daging yang disita ini akan dihantar ke Jabatan Kimia dalam masa terdekat untuk ditentukan jenis dagingnya, sebelum tindakan lanjut boleh diambil.
“Setelah siasatan selesai, ia akan dilupuskan mengikut kaedah yang ditentukan, ini termasuklah mengagihkannya ke zoo untuk dijadikan makanan haiwan sekiranya kualiti kesihatannya terbukti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa tinjauan dijalankan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi di gudang yang terletak di Taman Perindustrian Senai, di sini hari ini.
Rabu lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengetuai serbuan melibatkan sebuah syarikat yang menyeludup daging sejuk beku ke negara ini dan membungkus semula daging berkenaan dengan logo halal palsu.
Difahamkan, daging tersebut kemudian akan digunakan untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Sementara itu, Khalik turut memberitahu, pihaknya telah menahan seorang pengarah syarikat berkaitan yang merupakan seorang warganegara tempatan dan berusia 40an, hari ini.
Jelasnya, suspek ditahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan dokumen diperlukan ketika diperiksa.
“Pada hari ini juga, Kastam telah menyita tiga buah lori yang mengandungi produk daging sejuk beku yang tidak memiliki logo halal.
“Manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyita produk daging sejuk beku yang menggunakan tanda logo halal,” ujarnya.
Tambah Khalik lagi, mereka juga tidak menafikan kemungkinan terdapat pihak lain yang melakukan kegiatan serupa kerana pasaran daging halal adalah besar, termasuklah di negara ini.
“Tindakan kartel ini memalsukan logo Halal Australia adalah kerana logo halal negara berkenaan diyakini masyarakat Islam. Secara tidak langsung mereka boleh menjualnya dengan harga yang lebih tinggi,” tambah beliau.
Penggerak Daily