ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan laporan portal berita antarabangsa yang mendakwa sebuah kasino bakal dibina di Forest City, di sini adalah satu fitnah dan tidak benar.
Menurut beliau, perkara tersebut dilihat bertujuan menjejaskan imej kawasan pembangunan hartanah tersebut dan juga Johor secara amnya.
“Berita berhubung pembinaan dan pengurusan lesen kasino di Forest City adalah satu fitnah liar dan tidak benar sama sekali. Ini tidak ubah seperti bau busuk tidak berbangkai, fitnah tidak masuk akal melainkan hanya berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor.
“Ia juga seolah-olah mengulangi usaha membina persepsi negatif untuk menggagalkan pembangunan Forest City seperti yang dilakukan sesetengah pihak tertentu pada tahun 2018 dengan pelbagai hasutan dan fitnah.
“Sebaliknya, saya yakin dengan komitmen diberikan kerajaan persekutuan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang adalah masa terbaik untuk bangunkan Forest City,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan diajukan Liow Cai Tung (PH – Johor Jaya) berhubung laporan portal antarabangsa melibatkan pembinaan sebuah kasino di Forest City ketika sesi menjawab soalan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Sebelum ini, Onn Hafiz juga dilaporkan berkata tiga kasino yang pernah beroperasi di negeri ini telah diarah tutup sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim.
“Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor. Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini,” jelasnya.
Terdahulu, portal berita Bloomberg dengan memetik sumber melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertemu dua hartawan terkemuka bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.
Laporan itu mendakwa Anwar beserta beberapa pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan tempatan telah mengadakan makan tengah hari dan bermesyuarat mengenai kemungkinan memberikan lesen kasino kedua Malaysia di kawasan berkenaan.
Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri dilaporkan turut menyelar laporan portal berita antarabangsa itu dan mahu pihak yang melakukan fitnah itu harus dikenakan tindakan undang-undang termasuk dihukum penjara.
“Tidak ada modal lain, kononnya Anwar sudah meluluskan kasino di Johor. Apa benda ini, tidak pernah saya dengar, tidak pernah orang usulkan dan Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) tidak pernah memaklumkan kepada saya untuk ada kasino serta perjudian di sana.
“Jadi tohmahan ini daripada mana, daripada penjahat sebenarnya. Mereka ini sebenarnya perlu ganti bilik-bilik saya di Sungai Buloh,” ujarnya seperti dilaporkan media.
Penggerak Daily