Oleh: Ahmad Roi
Kelmarin, timbul isu larangan berbaju Melayu dalam sidang DUN Selangor apabila Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berang apabila beberapa Adun berpakaian baju Melayu dan menegur mereka pada awal sidang.
Bagi Roi, tindakan ini bukan hanya tentang peraturan. Isu DAP marah dengan baju melayu bukan seperti cikgu displin marah tidak pakai stoking. Isu ini bukan sekadar displin.
Apabila menelusuri ‘perseteruan’ antara DAP dan baju melayu, menguatkan tanggapan Roi. Isu baju melayu ini bukan tentang displin, dibaliknya terkandung perlawanan budaya dan pertentangan ideologi.
12 tahun lepas (2008), Adun Bentayan (DAP), Gwee Tong Hiang diarahkan keluar dari dewan kerana tidak mengenaikan pakaian seragam istiadat Johor dan bersongkok.
Tindakan ini wajar kerana peraturan mengenakan pakaian seragam istiadat Johor beserta songkok pada hari pembukaan oleh Sultan Johor merupakan aturan yang telah diguna sejak 50 tahun dulu.
Pada 2008 juga, M. Manoharan dari DAP enggan memakai songkok dan sidang DUN yang dihadiri Sultan Selangor. Alasannya, beliau tidak akan memakai songkok atau baju Melayu sebagai protes terhadap kerajaan yang enggan memberi status Bumiputera kepada bukan Melayu.
Apa masalah dengan baju Melayu?
Roi pelik apabila DAP sebagai sebuah parti yang bercita-cita menjadi kerajaan Malaysia alergik dengan baju Melayu.
Apakah demokrasi sosial tidak mengajar untuk memahami alam budaya tanah air ini sebelum berkehendakkan kuasa memerintahnya?
Baju Melayu sudah wujud sejak zaman empayar Melaka pada zaman Sultan Muhammad Syah kaya dengan nilai dan falsafah alam ini. Melaka sebagai tanah berkumpulnya orang dagang seluruh dunia, baju Melayu benar-benar berperanan sebagai lambang identiti bangsa.
Dunia bergerak, baju Melayu alami evolusi tapi tak hilang nilainya. Baju Melayu bukan sekadar kain menutup tubuh. Masyarakat tradisi mendidik generasinya dengan baju Melayu. Ada teromba mengenai rekaan baju Melayu Teluk Belanga;
“Teluk belanga berbutang tunggal,
Tunggal satu tuhan yang disembah,
Tunggal tidak dapat dianjak alih,
Tunggal tidak dapat dibelah.”
Dengan Baju Melayu Teluk Belanga, generasi dulu diajar mengenai kepercayaan kepada Tuhan, kesatuan dan perpaduan.
Nilai ini tidak terhenti apabila tertubuhnya Malaysia, sebagai satu negara moden. Malahan, Kepercayaan kepada Tuhan menjadi Rukun Pertama dalam Rukun Negara.
Maknanya, nilai yang dididik oleh masyarakat tradisi melalui baju Melayu ini terkandung dalam ideologi kebangsaan Malaysia.
Tentunya, nilai ini hanya sebahagian perkara yang tersirat di balik rekaan Baju Melayu. Ini belum lagi menyentuh perihal makna di balik bilangan butang, kedudukan kocek serta cara pemakaian sampin.
Jadi, bersikap dingin dengan sebuah kearifan tradisi yang mengandungi nilai dan ideologi negara adalah sangat tidak wajar bagi sebuah parti politik yang bercita-citakan kuasa di tanah air ini.
PenggerakDaily
*Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian PenggerakDaily