Oleh: Iskandar Dalat
Ketika Dasar Komuniti Negara (DKN) baharu diperkenalkan, terdapat kritikan mengatakan dasar ini tidak bersifat inklusif oleh seorang pensyarah di salah satu universiti tempatan. Kritikannya begini;
“Jika hanya tertumpu kepada kawasan perumahan berstrata kos rendah di bandar, bagaimana pula komuniti bandar yang duduk di kawasan komuniti berpagar, komuniti pelarian dan migran?”
Persoalan-kritikan pensyarah ini mengajak kita berfikir, kenapa Dasar Komuniti Negara fokusnya pada kawasan perumahan berstrata kos rendah di bandar.
Dalam teori realisme, perkembangan manusia sangat terkait dengan keadaan persekitarannya, atau dipanggil material lingkungannya. Dalam masyarakat yang tinggal di kaki gunung, kebarangkalian melahirkan pekebun lebih tinggi daripada melahirkan nelayan laut dalam.
Walaupun proses modenisasi telah mengubah naratif tradisi di mana kecenderungan anak petani jadi petani, anak nelayan jadi nelayan namun perkembangan manusia tetap didorong persekitarannya. Jika persekitarannya kondusif, kebarangkalian masyarakat ini tumbuh dengan baik lebih tinggi. Pokok cerita, persekitaran berperanan besar dalam membentuk manusia.
Persekitaran yang baik itu subjektif, namun dapat diukur dalam beberapa keadaan, antaranya ruang. Konsep ruang ini bukan sahaja memerihalkan tentang keluasan secara fizikal, namun ruang sebagai tempat ekspresi sosial.
Jika kita lihat, secara amnya komuniti di kawasan perumahan kos rendah (bandar) merupakan kelompok yang mempunyai ruang terhad berbanding komuniti lain di Malaysia. Dengan keadaan bandar yang semakin padat dengan pembangunan fizikal dan keluasan kediaman yang terhad – apatah lagi jika mempunyai bilangan keluarga yang ramai – sudah tentu memberi kesan negatif terhadap perkembangan generasi komuniti ini.
Jadi tidak hairan jika PPR mendapat jolokan sebagai ‘Penagih Paling Ramai’ kerana sinonimnya kawasan ini dengan aktiviti tidak sihat seperti masalah ketagihan dadah. Menurut Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) pada 2016 kira 70 peratus penagih dadah di sekitar Kuala Lumpur merupakan penghuni PPR.
Pada tahun lepas pula, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, statistik jenayah indeks di kawasan PPR di Kuala Lumpur pada suku pertama sahaja mencatat sebanyak 536 kes – jenayah harta benda sebanyak 465 kes manakala jenayah kekerasan sebanyak 71 kes.
Pastinya statistik jenayah ini bukan satu kebetulan. Tingkah laku masyarakat setempat didorong oleh ruang persekitarannya yang tidak kondusif dan sempit yang tidak sesuai untuk mereka berkembang dan berekspresi. Justeru, jika dilihat kebanyakan mereka yang terpengaruh dengan gejala rempit di kawasan bandar kerana tidak mempunyai ruang peribadi di rumah untuk berekspresi. Faktor yang sama juga menyebabkan fenomena Raver dan Hipster sekitar tahun 2008.
Justeru, tindakan DKN yang memberi tumpuan kepada komuniti kelas bawahan yang tinggal di kawasan berstrata merupakan tindakan tepat bagi masyarakat yang tersepit di celah hutan konkrit.
Dengan mewujudkan pejabat Sekteriat Muafakat Komuniti di setiap PPR, komuniti PPR mempunyai platform untuk menyurakan masalah serta mengemukan cadangan program serta rakan kolabrasi bagi memperkukuhkan jaringan sosial setempat. Langkah ini memperkukuhkan hubungan kejiranan masyarakat bandar seterusnya memudahkan pelaksanaan program yang bersifat komuniti.
Melalui penglibatan mereka dengan program dan ruang sekitarnya, komuniti setempat akan lebih bertanggungjawab dengan kawasannya dan menghargai persekitarannya sebagai ruang ekspresif sosial.
Hasilnya, terlaksana Program Memberdaya Komuniti kesan dari DKN. Setakat 2019, Program Memberdaya Komuniti di PPR sekitar Kuala Lumpur telah menjalin kerjasama dengan 191 rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan NGO.
Antara program kolaborasi yang dijalankan seperti; Program Kotak Cantik oleh Kolej Antarabangsa INTI Subang; Penubuhan Tadika Perpaduan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional; Kelas tambahan percuma oleh Kolej INTI; Bengkel Seni Jahitan Kreatif oleh Persatuan Seni Jahitan Kreatif.
Pastinya, perkembangan ini merupakan suatu rahmat besar bagi komuniti PPR yang inginkan generasi mereka juga membesar dengan baik dan selamat.
PenggerakDaily