Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz berang dengan individu yang memfitnahnya terlibat dengan kegiatan penipuan.
Tuduhan itu dibuat selepas Zulin dilihat pernah memuat naik gambar bersama beberapa individu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti haram tersebut.
Zulin berkata, dia berasa rimas dengan komen-komen yang mengaitkan dirinya dengan individu berkenaan.
“B***h mana yang fitnah. Aku sudah rimas dengan komen berkaitan scammer. Apa kena mengena dengan aku?
“Kalau aku kenal pun apa isunya dengan masalah (kegiatan penipuan) dia? Aku tidak buat bisnes mahupun ada kaitan dengan gejala sosial. Aku pergi rumah dia untuk memasak, bermain dengan anak-anaknya.
“Aku sampai sekarang hidup makan gaji, apa yang busuk hati sangat?,” soal Zulin dalam kapsyen menerusi satu hantaran di Instagramnya semalam.
Menurut pemilik nama penuh Farah Azleenda Abdul Aziz, 31, itu, dia turut meminta netizen berfikir dan jangan membuat tuduhan melulu selagi seseorang itu belum disabitkan bersalah oleh mahkamah.
Zulin memberitahu, siasatan masih dijalankan ke atas individu tersebut, namun pelbagai perkataan tidak enak sudah dilemparkan terhadapnya.
Zulin turut memohon agar netizen berhenti daripada menyebarkan cerita-cerita tidak benar tentang rakan-rakannya itu.
“Kalau betul (terlibat), kita semua harus mendoakan semoga mereka dihukum. Kalau tak benar, siapa yang memfitnah itu sendiri mau ingat,” katanya.
Tambah Zulin, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menabur fitnah terhadap dirinya.
“Tolong tag aku yang mana fitnah. Aku perlu perbetulkan keadaan dan ambil tindakan,” katanya yang enggan memaafkan pihak yang memfitnah dirinya itu.
Terdahulu, gambar Zulin bersama beberapa individu yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram tersebar di media sosial.
Rentetan daripada gambar tersebut, Zulin didakwa merupakan salah seorang individu yang hidup mewah atas sumber wang haram.
Sumber: Kosmo