JOHOR BAHRU: Dua lelaki tempatan berusia 30-an mengalami kecederaan ringan setelah terlibat dalam satu pergaduhan disebabkan sistem kad ‘Touch ‘n Go’ di Plaza Tol Taman Perling, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 1.15 petang, kelmarin.
“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun telah mendekati seorang penjaga tol kerana sistem ‘Touch ‘n Go’ melalui kad pengenalannya tidak berfungsi walaupun baki wang mencukupi.
“Berlaku perselisihan faham antara kedua-dua mereka sehingga membawa pergelutan. Pergaduhan antara mereka bagaimanapun dileraikan orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Balveer Singh, kedua-dua individu terlibat mengalami kecederaan ringan di bahagian badan dan muka.
“Kedua-dua mereka kemudian membuat laporan polis berhubung perkara tersebut daripada kedua-dua individu terlibat, semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” ujarnya sambil menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam apa-apa perkara yang boleh menyebabkan berlaku kejadian tidak diingini.
Penggerak Daily