ISKANDAR PUTERI: Dua lelaki mabuk ditahan polis selepas mereka enggan memberikan kerjasama dan bertindak menghalang pemeriksaan yang hendak dibuat terhadap kedua-dua di Mutiara Rini, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 8.30 pagi.
Menurut beliau, anggota polis bertindak menjalankan pemeriksaan selepas mendapati kedua-duanya tertidur di dalam sebuah kereta di tengah Jalan Persiaran Mutiara Mas, Mutiara Rini.
“Terdahulu, polis mendapat maklumat awam terdapat sebuah kereta yang mencurigakan berhenti di tengah jalan sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di tempat kejadian, terdapat dua lelaki sedang tidur dalam kereta berkenaan. Apabila pemeriksaan mahu dibuat, lelaki di bahagian penumpang keluar daripadanya kereta dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis MPV.
“Kedua-dua suspek kemudian ditahan dan seorang daripadanya tidak memiliki kad pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Rahmat, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berada dalam keadaan mabuk sebelum tertidur di tempat kejadian.
“Seorang daripada suspek pernah ditahan kerana terbabit dalam kongsi gelap dan kedua-dua mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an juga mempunyai beberapa rekod lampau jenayah dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 25(1)(N) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990,” ujarnya.
Penggerak Daily