Categories
Berita Budaya Kesihatan Lifestyle

DUNIA LAWAN VIRUS, KKMM LAWAN VIRAL

Ketika dunia berperang dengan COVID-19, rata-rata kita fokus kepada masalah kesihatan dan ekonomi. Tentunya, dua perkara ini terkesan secara langsung dengan pandemik ini. Namun, ada satu masalah yang perlu diperangi bagi memastikan ketidakstabilan akibat pandemik ini boleh diurus dengan baik dan harmoni. Perang melawan berita palsu!

Lebih bahaya, penyebaran berita palsu berkaitan virus tersebut lebih cepat tersebar berbanding COVID-19 itu sendiri.

Diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah, dalam cabaran mengekang penularan COVID-19, selain pandemik, seluruh dunia juga bekerja keras mengatasi infodemik berhubung wabak tersebut. Sejak awal wabak ini lagi, kita berdepan dengan cabaran memerangi virus dan viral.

Seperti yang disebut Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom – kita bukan sekadar memerangi wabak COVID-19, malah turut memerangi infodemik berkaitan dengan virus ini, kedua-duanya perlu ditangani serentak.

Inilah antara cabaran terbesar Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). Walaupun diakui ramai warga menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan memuatnaik dan menyebar luas maklumat yang tepat dan sahih COVID-19, namun, wajib untuk kita tahu, ramai juga netizen yang tidak bertanggungjawab dengan memuatnaik dan menyebar luas maklumat palsu, fitnah dan lebih serius menghasut orang ramai untuk tidak akur kepada peraturan dan nasihat yang diberikan.

Berita palsu ini bukan sahaja mengganggu kerajaan dalam menguruskan pandemik, malahan berita ini mempunyai kecenderungan menggugat keharmonian, khususnya Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik.

Tentu kita masih ingat bagaimana kluster awal COVID-19 di Malaysia terdiri dalam kalangan tabligh menjadi peluru bagi mereka yang bertanggungjawab memainkan isu perkauman dan agama. Sudah tentu, keadaan ini menyukarkan lagi kerajaan menguruskan pandemik ini.

Bertindak pantas bagi membebaskan masyarakat dari kemelut belenggu berita palsu ketika negara dilanda pandemik, KKMM telah menubuhkan Pasukan Maklum Balas Pantas (PRP) bagi mengekang penyebaran berita palsu melalui perancangan komunikasi yang baik serta pemakluman maklumat berskala dan sistematik.

Setakat Mei 2020, KKMM menerusi Pasukan Maklum Balas Pantas (PRP) telah mengeluarkan 293 penafian serta penjelasan bagi membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 serta telah menjelaskan 319 berita palsu.

Melalui PRP juga, sebanyak 44,644 laporan harian berita COVID-19 dikeluarkan di televisyen dan radio termasuk melalui Pengumuman Perkhidmatan Awam (PSA).

Dalam usaha membendung berita palsu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Pertama dan Fasa Kedua, sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka berhubung berita palsu berkaitan COVID-19.

Walaupun berkali-kali rakyat diingatkan tentang etika penggunaan media sosial, serta hukuman yang bakal menanti mereka yang menyebar berita palsu, namun peringatan itu seolah-olah tidak memberi kesan kepada sesetengah warga maya.

Namun perang masih belum tamat. Bukan saja virus, malahan viral juga perlu dikekang demi masyarakat yang sihat, selamat dan harmoni.

Selamat maju jaya KKMM!

PenggerakDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *