PASIR GUDANG: Pasar Raya Econsave memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun ini di seluruh negara.
Pengurus Besar Econsave Malaysia, Mas Imran Adam berkata, program CSR itu akan memberi tumpuan kepada membantu golongan B40 dan mereka yang terkesan dengan Covid-19.
“Sejak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu, ramai dalam kalangan kita telah kehilangan sumber pendapatan sehingga mengakibatkan tekanan kewangan terutamanya buat golongan B40.
“Jadi, Econsave berbesar hati membantu meringankan beban dihadapi mereka terutamanya golongan memerlukan seperti asnaf, keluarga susah, pemandu teksi serta ramai lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Program Back To School Econsave yang melibatkan seramai 54 penerima dari Taman Cendana di Pasar Raya Econsave Taman Scientex, di sini semalam.
Mas Imran turut memberitahu, Program Back To School itu akan diperluas ke negeri lain bagi memastikan murid terlibat dapat memulakan sesi persekolahan dengan sempurna.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim pula berkata, penerima terdiri daripada keluarga memerlukan, sekali gus program ini dapat meringankan beban ibu bapa mereka.
“Terima kasih yang tidak terhingga atas keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan dalam penempatan Taman Cendana, apatah lagi dengan keadaan serba kekurangan ketika waktu pandemik ini,” ujarnya ringkas.
Penggerak Daily