Oleh: Editorial Penggerak Daily
Walaupun mencatatkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terburuk sejak krisis ekonomi 1998 dalam tiga bulan kedua tahun ini iaitu pada kadar 17.1 peratus, namun Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berpandangan, senario buruk itu telah berlalu dan masa hadapan ekonomi negara dijangka lebih cerah.
“BNM telah menyemak semula unjuran KDNK keseluruhan 2020 negara kepada -3.5 hingga -5.5 peratus daripada -2.0 hingga 0.5 peratus sebelum ini disebabkan anggaran awal tersebut ditetapkan berdasarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat minggu, namun ia telah dilaksanakan selama tujuh minggu”,
“Dalam masa yang sama, ekonomi negara dilihat akan kembali pulih pada tahun 2021 dengan pertumbuhan dalam julat di antara 5.5 hingga 8.0 peratus”,
“Kedudukan ekonomi negara dilihat mula pulih secara beransur-ansur dalam tempoh enam bulan kedua tahun ini disokong oleh peningkatan semula petunjuk ekonomi utama seperti perdagangan borong dan runcit; pengeluaran perindustrian dan perbelanjaan kad kredit di samping pertumbuhan semula eksport kasar sejak ekonomi dibuka semula Mei lalu”,
“Momentum ini dijangka berterusan dalam separuh kedua tahun ini dengan pertumbuhan beransur-ansur akan mula kelihatan antara Julai hingga September 2020.
“Pertumbuhan ekonomi secara berperingkat pada separuh kedua tahun ini akan dipacu oleh peningkatan perkembangan global, perdagangan dan kitaran teknologi di samping pembukaan semula ekonomi domestik.
“Langkah kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan fiskal, monetari dan kewangan turut membantu memulihkan kedudukan ekonomi selain peningkatan prospek pendapatan dan sentimen yang mendorong kepada perbelanjaan pengguna.
Bagi tahun 2021 pula, kadar purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi iaitu antara 1.0 hingga 3.0 peratus sejajar dengan purata jangka lebih panjang yang pernah dicatatkan didorong oleh pemulihan harga minyak dunia dan permintaan domestik yang lebih baik.
Sumber: Utusan Online