JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah bahawa pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) menunjukkan komitmen Johor dalam melibatkan golongan muda dalam pentadbiran negeri.
Baginda bertitah, sudah tiba masanya golongan belia bangkit dan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan Johor.
“Tahniah saya ucapkan kepada para Exco yang telah dilantik pada hari ini. Saya yakin barisan Exco negeri yang baharu ini berpelajaran dan berkelayakan untuk mentadbir kerajaan negeri dengan dedikasi dan integriti.
“Barisan Exco ini juga mempunyai perwakilan dari golongan belia yang menunjukkan kerajaan negeri ingin melibatkan golongan muda untuk menggalakkan pentadbiran negeri yang lebih dinamik,” titahnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di hadapan Sultan Ibrahim di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengangkat sumpah adalah Ketua Pemuda UMNO Johor yang juga Adun Larkin, Mohd Hairi Mad Shah, Ketua Wanita Bahagian Ledang Khairin Nisa Ismail (Serom), Ketua Pemuda MIC Kebangsaan K. Raven Kumar (Tenggaroh), Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai), Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap) dan Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah).
Turut mengangkat sumpah, Ketua Puteri UMNO Kota Tinggi yang juga ADUN Johor Lama Norliza Noh, Ketua Pemuda MCA Johor Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh) dan Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir).
Titah Tunku Ismail lagi, baginda turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi keatas pemilihan barisan Exco baharu yang disifatkan sebagai inklusif.
“Tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi atas pemilihan barisan Exco yang inklusif, dengan lantikan dari golongan belia dan 2 orang wanita. Dengan ini, kita telah mengambil langkah ke depan demi memastikan tiada golongan masyarakat yang tercicir.
“Sebagai nasihat kepada para Exco yang baharu sahaja dilantik, ada tiga aspek yang perlu diutamakan untuk Bangsa Johor, iaitu pendidikan, ekonomi, dan kesihatan.
“Memandangkan kesan negatif susulan pandemik Covid-19 ini terhadap seluruh dunia, kerajaan negeri perlu menumpukan kepada pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negeri Johor,” titah baginda lagi.
Penggerak Daily