ISKANDAR PUTERI: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri yang baharu, Mohd. Hairi Mad Shah akan menetapkan Indeks Petunjuk Utama (KPI) 100 hari bermula hari ini.
Katanya, KPI tersebut akan ditentukan selepas pertemuan beliau dengan ketua-ketua jabatan di bawah portfolionya, hari ini.
“Hari ini merupakan hari pertama saya memulakan tugas secara rasmi, dan saya akan mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua jabatan untuk merancang program bagi pelaksanaan KPI 100 hari.
“Antara fokus utama saya termasuklah untuk memastikan semua agensi dan kakitangan dibawah portfolio ini bebas dadah, bagi memastikan slogan ‘Belia Benci Dadah’ bukan hanya slogan semata-mata,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Sekretariat Sukan Malaysia (Sukma) Johor, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau memulakan tugasnya secara rasmi selepas beliau mengimbas kad perakam waktu (clock-in) di Sekretariat Sukan Malaysia (Sukma) Johor, di sini. Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk On Jabbar.
Sementara itu, Mohd. Hairi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu turut memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.
Menurut beliau, perbincangan itu bagi menjayakan perancangan bagi membenarkan venue yang dibina bagi penganjuran Sukma Johor disewa untuk pelbagai aktiviti kesukanan sebelum temasya itu diadakan pada 2024.
“Seperti kita tahu, venue Sukma Johor dibawah pentadbiran Majlis Sukan Negeri Johor memang akan disewakan kepada umum, contohnya velodrom yang telah mula dibuka hari ini dimana seramai 50 individu telah mendaftar untuk menggunakan fasiliti berkenaan.
“Namun ada antara venue berkenaan berada di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi saya akan mengadakan pertemuan dengan exco berkenaan untuk membincangkan perkara ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Tertinggi Sukma memutuskan penganjuran Sukma Johor ditangguhkan ke tahun 2024 dan menetapkan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah untuk Sukma 2022.
Sukma Johor 2020 sepatutnya berlangsung pada 6 hingga 14 Mac 2021 manakala Para Sukma pada 5 hingga 10 April telah dibatalkan berikutan peningkatan kes Covid-19 pada ketika itu.
Penggerak Daily