JOHOR BAHRU: Ibu kepada Albertine Leo Jia Hui, 6, yang sebelum ini diculik di Iskandar Puteri, dekat sini sedia untuk kembali bekerja selepas anaknya telah selamat kembali dalam pangkuan keluarga.
Leo Qieo Xin, 37, dalam satu kenyataan di Facebook memberitahu, hati dan fikirannya telah kembali tenang selepas episod ngeri itu tamat.
“Terima kasih warga maya dan kawan-kawan kerana berkongsi berita kehilangan anak saya. Saya sangat berterima kasih.
“Saya kini sedia untuk kembali bekerja selepas hati dan fikiran tenang kerana anak saya sudah kembali dalam pangkuan keluarga.
“Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana menyelamatkan dan membawa pulang anak saya,” katanya ditulis dalam bahasa Mandarin.
Terdahulu, kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada pukul 8.30 malam Sabtu lalu ketika keluarga mereka berada di festival bon odori yang dianjurkan di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri.
Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu kemudiannya ditemukan selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, Selasa lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar memberitahu seramai lima individu telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Empat daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala seorang lagi suspek berusia 31 tahun yang ditahan ketika penemuan kanak-kanak itu masih direman.
Penggerak Daily