JOHOR BAHRU: Kemeriahan penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2024 (FLLSPG24) Kali ke-26 di Bukit Layang-Layang di sini lebih meriah pada malam hari.
Perkara itu diakui pengunjung yang hadir apabila kawasan padang dibuka kepada umum untuk turut terlibat sama ada bagi bermain layang-layang, menikmati juadah makanan atau hanya sekadar bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan.
Salah seorang pengunjung, Mohd. Zaki Supaid, 41, berkata, suasana malam lebih sesuai untuk beriadah khususnya apabila cuaca sejuk dan berangin.
“Majoriti pengunjung yang hadir ke festival ini datang bersama ahli keluarga, sama ada kanak-kanak atau warga emas. Jadi jika dibandingkan dengan suasana pada waktu pagi, tengah hari, petang atau malam, saya lebih suka waktu malam.
“Selain cuacanya yang lebih sesuai, kawasan padang juga dibuka kepada umum, secara tidak langsung orang ramai yang hadir boleh bermain layang-layang sendiri, pada waktu lain kebiasaannya kawasan padang ini ditutup untuk orang ramai,” katanya yang merupakan seorang peniaga.
Perkara sama turut diakui seorang lagi pengunjung, Aimi Sofia Mohammed Khairul, 14 yang mengakui teruja melihat pelbagai tarikan yang terdapat di festival itu pada malam hari.
“Selain layang-layang biasa dan layang-layang gergasi, terdapat juga layang-layang bercahaya serta dron yang diterbangkan pada waktu malam, kelihatan cantik berbeza sekiranya diterbangkan pada waktu pagi.
“Pengunjung yang hadir juga dimeriahkan dengan persembahan pentas termasuk pertandingan karaoke yang boleh disertai orang awam, jadi memang banyak aktiviti di malam hari,” katanya yang menetap di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang.
FLLSPG24 Kali ke-26 yang dianjurkan bermula 24 Februari hingga 3 Mac ini itu menyasarkan kehadiran seramai 500,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Bertemakan Budaya Dinamik, ia menghimpunkan seramai 139 peserta daripada 39 buah negara antarabangsa, termasuklah Malaysia selaku tuan rumah.
Penggerak Daily