Foto pemandangan sawah padi yang dimuat naik hanya sekadar suka-suka ini berjaya mencuri tumpuan syarikat teknologi Apple sehingga ia dipilih untuk ditampilkan di laman Instagram rasmi syarikat itu.
Lebih membanggakan, foto tersebut juga mendapat lebih 200,000 tanda suka dan turut menerima ribuan komen daripada pengikut Instagram syarikat gergasi itu.
Ketika dihubungi, jurufoto tersebut Muhammad Faris Danial Mohd Faizal, 19, menceritakan pengalamannya sehingga menjadi bualan dalam kalangan netizen di laman sosial berkenaan.
“Saya betul-betul tidak sangka bahawa gambar itu akan ditampilkan dan seterusnya menjadi tular.
“Sebenarnya ini kali kedua gambar saya ditampilkan dalam akaun rasmi Apple.
“Terdahulu, gambar saya ditampilkan secara kompilasi bersama jurufoto lain.
“Namun, pada 15 September lalu, Apple sekali lagi menghantar satu email kepada saya untuk meminta kebenaran bagi menampilkan gambar tersebut,” ujar remaja kelahiran Pahang itu.
Malah, kata Faris, gambar tersebut diambil semasa dia dan keluarganya sedang bercuti di Sabak Bernam, Selangor pada 17 Julai lalu.
“Gambar itu diambil menggunakan iPhone XR saya kira-kira jam 6.30 petang, pada ketika itu matahari mula terbenam dan saya rasa ia adalah waktu yang cantik untuk mengambil gambar,” kata Faris.
Sumber: Awani