JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengkaji agar pelaksanaan gaji premium melibatkan tenaga kerja mahir di Johor turut melibatkan bidang kepakaran berkaitan agama Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, pihaknya akan melihat perkara itu bagi melahirkan lebih ramai modal insan bidang agama berkemahiran tinggi di negeri ini.
Menurut beliau, ketika ini majoriti individu dengan kepakaran agama berkhidmat di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“(Pelaksanaan gaji premium) Kita akan melihat kepada sektor-sektor yang ada termasuk kepada pakar-pakar agama. Hal berkembang penggajian ini kita akan susun semula kerana itu memang kerja kerajaan.
“Mereka yang pakar dalam bidang agama ini juga boleh sertai pelbagai profesion lain seperti penceramah, pakar psikologi, kaunselor dan lain-lain lagi. Memang kita sasarkan gaji premium dalam kepakaran semua bidang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat hari pertama Peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STAM) di Madrasah Alattas Alarabiah Johor, di Ulu Tiram, di sini hari ini. Turut hadir, pengetua sekolah berkenaan, Ainon Ali.
Sementara itu, Aznan turut memberitahu, kerajaan negeri akan membantu pelajar yang mengikuti jurusan agama melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuklah di universiti-universiti luar negara.
“Kebiasaannya pelajar yang mengambil STAM ini akan menyambung pengajian ke universiti luar negara seperti di Jordan dan lain-lain, kerajaan negeri akan bantu termasuklah penempatan pekerjaan mereka kelak.
“Kita juga menggalakkan perkembangan bidang ini kerana Johor mahu melahirkan lebih ramai lagi pakar dalam bidang-bidang berkaitan agama Islam di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan terdapat seramai 344 calon yang menduduki peperiksaan STAM di kesemua 13 pusat peperiksaan dibuka seluruh Johor bermula hari ini.
Penggerak Daily