Oleh: Editorial Penggerak Daily
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan golongan muda menceburi sektor agromakanan negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ll, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, program Agropreneur Muda merupakan satu inisiatif kementerian di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi membantu mereka yang mahu terlibat dalam tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan dan agro pelancongan.
“Geran Agropreneur Muda (GAM) yang dimulakan sejak tahun 2016 berjaya membantu 6,005 orang agropreneur muda membabitkan nilai RM104.35 juta”,
“Bidang agromakanan kurang menarik minat anak muda kerana melihat ia sebagai sektor 3D – sukar, kotor dan berbahaya. Namun, sebenarnya sektor ini adalah sumber kekayaan negara,” katanya selepas merasmikan Jelajah Agropreneur Muda Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar Gopeng di sini semalam.
Che Abdullah berkata, sejumlah RM7.63 juta geran telah disalurkan kepada 380 peserta Agropreneur Muda yang mengusahakan tanaman antaranya nanas, fertigasi cili, jagung dan cendawan.
“Bidang perikanan tidak rugi diceburi apabila RM1.2 juta geran disalurkan kepada 61 penternak ikan yang mendapat bantuan pembinaan kolam, makanan ikan, anak benih dan infrastruktur ternakan ikan. Ia termasuk nelayan muda.
“Kementerian turut menyalurkan geran berjumlah RM9.24 juta dalam sektor ternakan. Bantuan ini merangkumi pembinaan kandang, reban serta input ternakan seperti anak lembu, biri-biri, ayam, itik dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, MAFI telah memperuntukkan RM20 juta bagi membangunkan seramai 1,200 orang agropreneur muda tahun ini.
Sumber: Sinar Harian