Polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung tindakan pemilik sebuah restoran menghiasi gambar era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong pada dinding premisnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung gambar poster terbabit pada dinding dua restoran makanan milik lelaki tempatan berusia 41 tahun tersebut, semalam.
Katanya, siasatan lanjut mendapati restoran yang diselia lelaki terbabit beroperasi di Pulau Tikus di Timur Laut dan Auto City di Juru, Seberang Perai Tengah.
“Kita akan mengambil keterangan daripada pengusaha premis tersebut yang kini menjalani kuarantin Covid-19 selama 14 hari.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 44 Akta Pertubuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Semalam, restoran itu yang menjadikan karya lukisan semasa era revolusi kebudayaan China menjadi tular dalam laman sosial WhatsApp dan Facebook sekali gus mendapat kecaman netizen.
Sumber: Malaysiapost