Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan kawasan di daerah ini dan Klang berterusan apabila Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengumumkan yang terbaharu sebanyak 59 kawasan di sekitar kawasan Klang/Shah Alam dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini.
Untuk rekod, dua hari lalu, 15 kawasan di Klang dan Shah Alam mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kejadian paip pecah berdekatan pencawang elektrik di Jalan Bukit Raja, Klang.
Air Selangor dalam kenyataannya hari ini berkata, gangguan bekalan air di tiga kawasan itu berikutan berlakunya insiden paip pecah di kawasan pembinaan Worldwide Seksyen U11 di sini.
“Kejadian paip pecah berlaku berikutan tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga hingga menyebabkan tekanan berlebihan pada paip itu.
“Akibat kejadian itu, 59 kawasan di Klang, Shah Alam dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Antara kawasan yang terjejas ialah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Pelabuhan Barat, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan beberapa kawasan lain.
Dalam pada itu, tambah kenyataan tersebut, beberapa lori tangki akan digerakkan ke kawasan yang terlibat untuk menyalurkan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.
“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan terkini kerja-kerja pembaikan paip pecah itu di saluran komunikasi rasmi Air Selangor dalam Facebook, Twitter, aplikasi telefon pintar Air Selangor serta laman sesawang rasmi Air Selangor,” ujarnya.
Sumber: UTUSAN