JOHOR BAHRU: Keputusan kerajaan menggantung kelulusan yang diberikan kepada Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia tidak akan menjejaskan bekalan daging lembu di negara ini khususnya menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, hal itu kerana permintaan tinggi terhadap daging lembu hanya melibatkan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan bukan Aidiladha.
Menurut beliau, permintaan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha khususnya melibatkan lembu hidup.
“Berkenaan penggantungan lesen berkenaan, tidak timbul masalah kekurangan bekalan kerana bagi sambutan Hari Raya Aidiladha ini, permintaan lebih terarah kepada lembu hidup berbanding daging.
“Sementara itu, penggantungan itu juga tidak menjadi satu masalah kerana bekalan daging telah ditampung daripada negara-negara lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Islam Iskandar, di sini malam semalam.
Pada 14 Mei lalu, kerajaan Malaysia menggantung serta-merta kelulusan yang diberi kepada TFI Lobethal, Australia sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh berhubung kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal loji penyembelihan itu.
Perkara itu diputuskan sebulat suara dalam satu sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australia.
Tambah Idris lagi, siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan dengan pihak audit daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turut berkunjung ke loji sembelihan itu dalam waktu terdekat ini.
“Soalan sama ada syarikat berkenaan akan dilantik semula selepas ini atau tidak bergantung kepada hasil siasatan dan juga budi bicara pihak kerajaan,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily