Categories
Berita

GARA-GARA TUNJUK ISYARAT LUCAH RM1000 MELAYANG

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Akibat menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah kepada pegawai polis, seorang juruteknik lelaki didenda RM1,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Vinotheran, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah menunjukkan isyarat lucah yang telah mengaibkan kehormatan Sub Insp Sukdev Singh Karnail Singh di Jalan Tunku Abdul Halim berhadapan dengan Istana Negara, di sini pada  5 petang, 3 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal  sebagai pengajaran supaya orang awam tidak menunjukkan isyarat lucah terhadap sesiapa sahaja, apatah lagi kepada pegawai penguatkuasa.

Vinotheran yang diwakili peguam P. Suthes merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya menyara ibu bapanya dan seorang kakak yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Di mahkamah sama, seorang tukang masak Kevin Chin Ming Wei, 47, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah  mencuri daging lembu jenis wagyu bernilai RM10,700  daripada  sebuah  restoran di sebuah hotel di sini, pada  8 pagi, 16 Julai lepas.

Aina Azahra turut memerintahkan Chin menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *