JOHOR BAHRU: Masyarakat khususnya golongan muda di negeri ini dinasihatkan agar tidak terlalu memilih dalam mendapatkan pekerjaan sebelum peluang berkenaan direbut warga asing.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, gesaan itu dibuat selepas mendapat maklum balas daripada pihak industri yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan.
Menurut beliau, antara makluman diterima adalah golongan muda dilihat terlalu memilih pekerjaan melibatkan faktor gaji, jenis pekerjaan dan juga lokasi tempat kerja.
“Bagi mengelakkan peluang-peluang pekerjaan tersebut diberikan kepada warganegara asing, adalah lebih baik sekiranya majikan dapat mengutamakan warganegara tempatan, khususnya orang muda.
“Ini kerana golongan itu antara yang terkesan termasuklah kehilangan pekerjaan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 lebih dua tahun lalu.
“Namun dalam masa sama, golongan berkenaan juga diminta agar tidak terlalu memilih pekerjaan khususnya dalam keadaan situasi semasa dimana terdapat banyak peluang pekerjaan ditawarkan pelbagai industri di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Fiesta Seni Mini Johor di pusat beli belah Paragon Market Place, di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, golongan pencari kerja diminta untuk memenuhi peluang-peluang pekerjaan yang tersedia di seluruh negeri dan juga negara ini sebelum peluang tersebut direbut golongan warga asing.
Baru-baru ini, media melaporkan pelbagai sektor termasuklah perkhidmatan dan pembuatan mengalami kekurangan pekerja sekaligus membangkitkan persoalan dimana anak-anak muda negara ini berada dan apakah yang dilakukan mereka sebagai punca pendapatan.
Sementara itu, kerajaan Johor juga sebelum ini dilaporkan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengatasi masalah pengangguran melibatkan warga tempatan dan juga rakyat tempatan yang lebih menumpukan peluang pekerjaan di Singapura.
Penggerak Daily