JOHOR BAHRU: Seorang guru dan juga pengusaha pusat tuisyen di sini menafikan dakwaan dirinya terlibat dengan gangguan seksual terhadap anak muridnya oleh seorang wanita yang tidak dikenali menerusi laman sosial Facebook, Ahad lalu.
Guru berkenaan, Lee Chuen Sing, 44, memberitahu, walaupun tidak mengenali wanita berkenaan tetapi dia percaya dakwaan itu bertujuan untuk mengganggu perusahaan pusat tuisyen yang dijalankan.
Katanya, dia telah berkhidmat sebagai guru dan mengadakan pusat tuisyen selama hampir 20 tahun, namun ini kali pertama dilemparkan dakwaan sedemikian.
“Saya menafikan dakwaan itu dengan sekeras-kerasnya, kerana ia dibuat oleh seorang individu yang tidak saya kenali dan bukan oleh anak murid saya atau ahli keluarga mereka.
“Walaupun tiada sebarang bukti, tetapi saya percaya tindakan wanita yang tidak dikenali itu bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti saya,” katanya yang mengajar subjek Matematik Tambahan bagi pelajar sekolah menengah.
Dia berkata dengan dalam satu sidang akhbar yang diadakan di pusat tuisyennya di Stulang Laut, di sini semalam.
Chuen Sing memberitahu, dia hanya tahu berhubung dakwaan itu selepas seorang anak muridnya memaklumkan berhubung akaun Facebook bernama Apple Liew Yang mendakwa dia melakukan gangguan seksual terhadap salah seorang anak muridnya.
Tuduhan itu termasuklah tindakan cubaan memegang tubuh badan dan cuba mencium pelajar perempuannya.
Sehubungan itu dia telah membuat satu laporan polis berhubung perkara tersebut di Balai Polis Taman Pelangi Indah, petang Ahad lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya telah meneri laporan polis berkenaan dan akan menjalankan siasatan.
Penggerak Daily