JOHOR BAHRU: Hanya 50 peratus daripada aduan orang awam kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor melibatkan kesalahan jalan raya boleh diteruskan dengan tindakan undang-undang.
Pemangku Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, hal itu kerana kebanyakan aduan yang diterima tidak memaparkan maklumat secara jelas.
Menurutnya, antara maklumat diperlukan termasuklah nombor pendaftaran kenderaan dan jenis kesalahan dilakukan.
“Kita menerima banyak aduan orang awam, termasuk gambar foto dan rakaman video yang tidak jelas. Keadaan itu menyukarkan kita untuk mengambil tindakan lanjut.
“Sebagai contoh, kesalahan memotong di laluan kiri, kita perlukan bukti kenderaan yang dipotong, jadi dalam situasi ini rakaman video adalah lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat JPJ Johor, di sini hari ini.
Katanya, bukti yang kurang lengkap akan menyukarkan pihaknya dalam mengambil tindakan undang-undang, sehubungan itu, orang ramai diminta untuk membuat aduan dengan maklumat diperlukan.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan JPJ negeri kini memiliki 11 unit kamera Go Pro, 8 unit ‘dashcam’ dan kamera DSLR untuk melakukan penguatkuasaan secara digital.
“Kamera Go Pro berkenaan dilengkapkan di topi keledar Unit Penguatkuasa Bermotosikal (UPB) JPJ, manakala ‘dashcam’ dipasang di dalam kenderaan penguatkuasa.
“Penggunaan teknologi digital berkenaan membantu pegawai dan anggota dalam menjalankan penguatkuasaan selama 24 jam, ia juga bersesuaian dengan norma baharu akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
“Anggota yang tidak bertugas juga boleh merakam kesalahan dan diproses untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya sambil memberitahu pihaknya mengharapkan penggunaan peralatan berkenaan dapat ditingkatkan pada masa depan.
Penggerak Daily