JOHOR BAHRU: Pemandu sebuah kenderaan exco kerajaan negeri yang sebelum ini tular kerana menghentikan sebuah kenderaan di tengah-tengah jalan untuk menegur seorang pemandu lain telah diberikan amaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, amaran tersebut dikeluarkan pengurusan kerajaan negeri.
Menurut beliau, ketika kejadian pihaknya tidak berada dalam kenderaan tersebut.
“Kejadian itu sudah lama berlaku, bukan baru-baru ini. Pemandu telah mengaku perbuatannya menghentikan kenderaan lain kerana pemandu kenderaan tersebut memandu secara berbahaya.
“Menurutnya, tindakan itu bertujuan untuk memberikan nasihat kepada pemandu kenderaan tersebut, cuma mungkin cara dan nada suaranya agak kurang sesuai.
“Walaubagaimanapun, pemandu itu telah diberikan amaran daripada pengurusan kerajaan negeri dan telah diminta untuk memberikan kerjasama sekiranya terdapat laporan polis yang dibuat berhubung kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Ting Han, pihaknya juga meminta maaf mewakili pemandu kenderaan rasminya itu sekiranya kejadian tersebut telah menyebabkan perselisihan faham berlaku antara mana-mana pihak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu, tular rakaman video yang memaparkan pemandu sebuah kenderaan exco kerajaan negeri bertindak menghentikan sebuah kenderaan lain yang dipercayai memandu secara merbahaya di sekitar bandar raya ini.
Pemandu tersebut turut dilihat keluar daripada kenderaan itu dan menegur pemandu kenderaan lain itu dengan nada agak kasar selain bertanyakan apakah dia tahu siapa individu yang berada di dalam kenderaan tersebut.
“Abang tahu tak siapa kat dalam (dalam kenderaan), abang tahu tak, masuk bagi signal bang,” tegasnya.
Namun apabila ditanya siapa individu yang berada di dalam kenderaan itu, pemandu tersebut enggan mendedahkan nama identiti berkenaan.
Penggerak Daily