JOHOR BAHRU: Sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, syarikat pengeluar minuman tempatan, Haos Ek? menyantuni seramai 43 murid dari Maahad Tahfiz Al Insirah Johor Bahru dengan menonton filem Malbatt Misi Bakara.
Ketua Pegawai Eksekutif Haos Ek?, Anis Permin berkata, program tersebut merupakan kesinambungan program menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dianjurkan pihaknya, tahun ini.
“Pada 31 Ogos lalu, kita telah menghasilkan Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya menganjurkan formasi kereta berbentuk Jalur Gemilang terbesar di Malaysia.
“Untuk hari ini, kita santuni anggota masyarakat melalui tontonan filem yang menaikkan semangat patriotik dan cintakan negara. Ia adalah satu bentuk ‘public engagement’ buat syarikat dan masyarakat. Ia juga merupakan satu tanggungjawab sosial korporat kami,” katanya kepada pemberita.
Dalam program tersebut, seramai 42 murid maahad bersama dua guru pengiring mereka dibawa menonton filem tersebut di Womei Cineplex, pusat beli belah Beletime Danga Bay, Johor Bahru, di sini.
Tambah Anis, pemilihan pelajar maahad tahfiz tersebut dibuat setelah mengambil kira filem berkenaan sesuai untuk ditonton semua peringkat masyarakat tanpa mengira latar belakang pendidikan mereka.
“Filem Malbatt Misi Bakara ini dipilih kerana tayangannya selari dengan Sambutan Hari Malaysia dengan harapan ia dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda Malaysia.
“Kami percaya melalui aktiviti seperti ini kita juga dapat mengenal jati diri masyarakat kita dan sejarah negara yang hebat dan tidak pernah difilemkan sebelum ini,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily