JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak bertanggungjawab terhadap penetapan harga jualan makanan dan minuman di Bazar Ramadan, khususnya melibatkan bazar yang dianjurkan pihak swasta.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, harga jualan makanan dan minuman bukan bidang kuasa pihaknya.
“Ini bukan bidang kuasa kita untuk ambil tindakan, sebaliknya kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), mereka yang boleh berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan harga makanan mahal yang dijual di Bazar Ramadan Taman Suria adalah disebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengenakan sewa tapak yang tinggi.
Semalam, tular di media sosial mendakwa harga makanan di bazar berkenaan dijual mahal, termasuklah burger berharga RM30 dan roti John berharga RM40, selain ikan bakar berharga RM40.
Sementara itu, Mohd. Noorazam memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan 31 kompaun terhadap peniaga Bazar Ramadan yang didapati tiada suntikan tifoid selepas pemeriksaan dibuat di 56 Bazar Ramadan yang telah diluluskan PBT itu, tahun ini.
“Tindakan kompaun itu dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 20(1) (II) UUK Pengendali Makanan MBJB 2010.
“Nilai kompaun yang dikeluarkan adalah RM7,750. Saya juga mahu mengingatkan peniaga makanan untuk memastikan pekerja pengendali makanan mendapatkan suntikan tifoid sebelum menguruskan makanan yang hendak dijual.
“Perkara ini merupakan syarat utama dalam perniagaan makanan. Kegagalan mendapat suntikan itu boleh menyebabkan risiko penularan penyakit seperti demam kepialu yang boleh tersebar melalui makanan yang telah tercemar dengan bakteria,” ujarnya.
Penggerak Daily