Kerajaan bercadang untuk menurunkan lagi paras harga siling pelitup muka tiga lapisan di bawah RM1 seunit.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata cadangan itu akan diputuskan selewat-lewatnya hujung Oktober depan.
Katanya, keputusan itu akan diputuskan sebaik sahaja kerajaan membuat kajian terperinci.
“Jadi saya mohon pemain industri mengambil maklum perkara ini. Jangan kata kita tidak memberi notis atau kenyataan terlebih dahulu,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Cha Kee Chin (DAP-Rasah) mengenai kemungkinan kerajaan akan mempertimbangkan untuk menurunkan harga pelitup muka yang kini ditetapkan pada harga siling RM1.
Mengulas lanjut Alexander berkata, cadangan penurunan harga siling pelitup muka itu diambil kira selepas mendapati bekalan itu mencukupi.
Walaupun begitu beliau menegaskan, kerajaan masih mengadakan rundingan dengan pemain industri.
Sumber: Awani