Categories
Berita Budaya Politik

HASRAT NAJIB BERSAMA DENGAN ANWAR TIDAK KESAMPAIAN

Mesyuarat ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) semalam menyaksikan perdebatan hangat berhubung cadangan penasihat mereka, Najib Razak untuk bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP.

Berdasarkan maklumat daripada sumber peringkat tertinggi Umno, cadangan bekas perdana menteri itu menyebabkan beliau mendapat kritikan hangat daripada ahli-ahli Parlimen BN.

“Sekurang-kurangnya seorang ahli Parlimen Umno menyokong Najib walaupun terdapat tentangan hebat daripada yang lain,” kata sumber itu.

Mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur menjelang mesyuarat Majlis Tertinggi parti Melayu itu semalam, yang dijangkakan akan membuat keputusan sama ada akan kekal atau tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perbincangan ahli-ahli Parlimen BN itu berkisar tentang sokongan mereka terhadap kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin Yassin, sehari selepas Agong menitahkan tiada keperluan mengisytiharkan darurat seperti dicadangkan perdana menteri.

Muhyiddin membuat cadangan itu untuk mengelakkan pilihan raya mengejut semasa musim pandemik Covid-19 selepas rayuan pegawai kanan kesihatan bagi mencegah kluster pilihan raya umum.

Terdapat kebimbangan sejumlah ahli Parlimen Umno tidak menyokong belanjawan dibentangkan bulan depan yang bakal menyaksikan kerajaan Muhyiddin tumbang dan pilihan raya terpaksa diadakan.

Titah Agong semalam memberikan peluang kepada musuh Muhyiddin untuk mengambil kesempatan, dengan pembangkang Pakatan Harapan (PH) dan sekumpulan kecil dalam Umno menggesanya meletakkan jawatan.

Antara ahli Parlimen anti kepada Muhyiddin dalam Umno ialah Najib bersama-sama presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Pada 16 Oktober, MalaysiaNow mendedahkan kedua-dua pemimpin terpalit dakwaan rasuah itu menulis surat kepada Agong, sebelum presiden PKR itu ke Istana Negara pada 13 Oktober.

Sumber: MalaysiaNow

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *