JOHOR BAHRU: UMNO Johor menggesa rakyat menghentikan spekulasi liar yang mengaitkan serangan di Balai Polis Ulu Tiram dengan kumpulan ekstremis termasuklah Jemaah Islamiyah (JI).
Sebaliknya, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta rakyat memberi sepenuh kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.
“Kejadian serangan yang berlaku amat memeranjatkan dan UMNO Johor beri kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa. Kami harap semua pihak tidak buat spekulasi dan tersilap dengan menyampaikan maklumat tidak benar.
“Ini penting kerana Johor merupakan negeri dengan hasil pelaburan dan juga pelancongan tinggi, jadi kita tidak mahu spekulasi seperti itu menjejaskan imej negeri ini di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pendigitalan Kompetensi Kemahiran Pembinaan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Selatan, Mohd. Zaidi Rahmat dan Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Johor, Ahmad Farrin Mokhtar.
Ahmad yang juga merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pihak polis tahu apa yang mereka lakukan berhubung siasatan terhadap insiden serangan berkenaan.
“Jika polis telah katakan suspek bertindak berseorangan dan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan JI, kita harus percaya,” jelasnya.
Kelmarin, dua anggota polis maut selepas Balai Polis Ulu Tiram diserang seorang individu bersenjatakan parang. Suspek yang berusia 21 tahun turut merampas senjata api anggota polis yang dibunuhnya.
Serangan itu turut mencederakan seorang lagi anggota polis, sebelum suspek berjaya dibunuh tidak lama kemudian.
Penggerak Daily