JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri yakin pertukaran kembali cuti hujung minggu Johor kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan tidak akan menjejaskan usaha menghormatinya Jumaat selaku penghulu segala hari bagi agama Islam.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya bersama Mufti Negeri Johor dan agensi terlibat akan memperincikan waktu kerja sesuai terutamanya pada hari Jumaat.
Katanya, langkah itu bertujuan memberi ruang dan masa mencukupi untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat pada waktunya.
“Penyelarasan semula cuti hujung minggu Johor kepada Sabtu dan Ahad akan melibatkan semua bangsa Johor terutamanya 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja dari sektor kerajaan dan swasta.
“InshaAllah, tanpa mengetepikan kepentingan solat, penyelarasan ini juga akan mengurangkan masalah penjadualan dalam kalangan sektor awam dan sektor swasta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, langkah itu bakal memberi ruang kepada keluarga meluangkan masa bersama dan membantu memudahkan aktiviti rentas sempadan serta aktiviti perniagaan.
Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar cuti hujung minggu di negeri ini ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad, bermula 1 Januari depan.
Titah baginda, perkara itu telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Selepas mendapat perkenan dan restu Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.
“Saya juga menitahkan agar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek,” titahnya.
Pada 2014, cuti hujung minggu Johor telah ditukar kepada Jumaat dan Sabtu susulan titah Sultan Ibrahim yang menitahkan pertukaran cuti itu.
Selain Johor, negeri yang melaksanakan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu ketika ini adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Penggerak Daily