ISKANDAR PUTERI: Hospital Sultanah Aminah (HSA) akan menyiasat secara terperinci dakwaan seorang kakitangan hospital itu menolak kehadiran pesakit yang hadir bagi mendapatkan rawatan kesihatan.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, hal itu kerana hospital awam tidak boleh menolak untuk memberi rawatan sebaiknya.
Menurut beliau, siasatan berhubung dakwaan berkenaan akan dibuat secara dalaman oleh pentadbiran hospital berkenaan.
“Kita tidak tahu punca kejadian berkenaan, jadi biarlah satu siasatan dibuat terlebih dahulu, dan perkara ini akan dikendalikan pengurusan hospital sendiri,” katanya selepas merasmikan Unit Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles di Medini, di sini semalam.
Kelmarin, tular satu rakaman video di aplikasi TikTok mendakwa kakitangan HSA menolak seorang pesakit daripada bertemu dengan Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) hospital itu.
Rakaman tersebut turut menunjukkan wanita tersebut bercakap dalam nada suara yang tinggi.
“Kalau saya berdarah pun tak boleh jumpa doktor, sekarang saya nak jumpa siapa. Hello, jawab saya boleh tak, eh,” kata wanita berkenaan.
Video tersebut bagaimanapun sudah diturunkan daripada aplikasi berkenaan, namun masih menjadi perbualan dalam kalangan netizen.
Sementara itu, Pengarah HSA, Dr. Sal Atan pula memberitahu, JKT memberi perkhidmatan 24 jam untuk kes kecemasan dan sebelum 4 Jun 2023, JKT turut menyediakan rawatan kes bukan kecemasan selepas waktu pejabat, cuti hujung minggu dan cuti pelepasan am.
“Namun, pada 4 Jun 2023, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan projek rintis ‘extended hour’ klinik kesihatan yang melibatkan Klinik Kesihatan Mahmoodiah dengan kerjasama JKT HSA.
“Sehubungan dengan itu, pengurusan hospital sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengenalpasti faktor kedatangan pesakit ke JKT sama ada atas kes kecemasan atau kes bukan kecemasan.
“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa, dimana HSA sentiasa berusaha memberi perkhidmatan perawatan terbaik. Segala kesulitan yang timbul berhubung perkara ini amat dikesali,” jelasnya.
Penggerak Daily