JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri, Izri Jailani, 34, dan Siti Maizatul Akhmar, 32, tabah membesarkan empat anak kecil, termasuk dua yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) akibat menderita penyakit saraf.
Ekoran itu, anak pertama dan ketiganya tidak mampu bergerak seperti kanak-kanak normal sebaliknya hanya terlantar dan memerlukan perhatian sepenuh masa oleh ibu bapanya.
Menurut Siti Maizatul, ketika Izureen Qhaireen Izri, 7, dan Izham Muhamad Izri, 4, dilahirkan, mereka kelihatan normal seperti bayi biasa.
Namun menurutnya, setelah anak-anaknya itu semakin membesar, keadaan fizikal mereka semakin menunjukkan kelainan antaranya bahagian kepala semakin membesar, selain tubuh fizikal yang semakin lemah.
“Doktor ada memaklumkan bahawa kanak-kanak yang menderita penyakit ini dianggarkan mempunyai jangka hayat sekitar 10 tahun sahaja.
“Namun saya dan suami tetap mendoakan yang terbaik buat mereka berdua dan kami berjanji untuk menjaga kebajikan mereka sebaik mungkin,” ujarnya yang turut mempunyai dua anak normal lain iaitu anak kedua dan keempat yang berusia 6 tahun dan sembilan bulan.
Mereka ditemui pemberita di kediamannya di sini selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri.
Sementara itu, Siti Maizatul turut memberitahu dia dinasihatkan oleh beberapa doktor untuk menggugurkan kandungan keempatnya kerana bimbang bayi tersebut berkemungkinan turut menghidap penyakit sama, iaitu Canavan Disease.
Namun jelasnya, dia dan suami berkeras untuk tidak melakukan demikian kerana yakin semua yang berlaku telah ditakdirkan buat mereka.
“Ketika mengandung anak keempat, pihak hospital memaklumkan terdapat kemungkinan bayi dalam kandungan itu turut menghidap penyakit sama kerana saiz kepalanya yang sedikit besar.
“Tetapi kami reda dan bersedia untuk menjaganya jika sememangnya itu yang ditakdirkan buat kami berdua.
“Syukur Alhamdulillah anak yang dilahirkan ini normal dan kini melengkapkan lagi keluarga kami,” ujarnya yang terpaksa berhenti kerja demi menjaga anak-anaknya sepenuh masa.
Siti Maizatul turut memaklumkan kos penjagaan anak-anaknya khususnya yang menderita penyakit itu dianggarkan lebih daripada RM1,000 setiap bulan.
Tambahnya, kos itu merangkumi perbelanjaan makanan dan minuman mereka, lampin pakai buang serta urusan pemeriksaan di hospital yang perlu dibuat secara berkala.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB bernombor 7609399041 milik Siti Maizatul.
Penggerak Daily