JOHOR BAHRU: Kesukaran hidup seorang ibu yang cekal menjaga anak perempuannya yang lumpuh sejak berusia enam tahun mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda berkenan mengurniakan bantuan makanan kepada ibu berkenaan, Chuah Apong, 67, menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Menurut wanita berkenaan, anaknya, Goh Shiow Lih lumpuh akibat saraf otaknya terjejas setelah mengalami komplikasi demam sejak berusia enam tahun.
“Sejak itu, saya menjaga dan mengurusnya manakala suami juga kini tidak mempunyai pekerjaan. Kami terpaksa bergantung kepada pendapatan dua anak yang bekerja.
“Saya sungguh bersyukur apabila menerima kurniaan bantuan makanan daripada Sultan Johor yang dapat meringankan beban keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Chuah merupakan antara 500 keluarga dari Mukim Senai yang menerima kurniaan bantuan makanan daripada Sultan Johor, hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada lima keluarga terdiri daripada warga emas dan orang kelainan upaya.
Bantuan disampaikan Mejar Cina, Datuk David Wong kepada Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani. Turut hadir, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kulai, Natazha Hariss serta Penghulu Mukim Senai, Mohd. Redza Abdul Rahman.
Penggerak Daily