JOHOR BAHRU: Seorang ibu maut manakala tiga anaknya termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun sesak nafas selepas rumah kedai dihuni mereka di Jalan Senyum, Kampung Wadi Hana di sini, terbakar.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Faiz Suleiman berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kebakaran itu pada pukul 4.53 pagi, hari ini.
Sehubungan itu katanya, 49 anggota beserta 13 buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran tersebut melibatkan tiga buah bangunan rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 24 darab 100 kaki seunit. Ketiga-tiga premis itu mengandungi unit kedai dan bilik sewa dengan kemusnahan akibat kebakaran antara 65 hingga 90 peratus.
“Operasi memadam kebakaran dibuat menggunakan empat aliran air sepanjang 200 kaki dengan enam pancutan menggunakan air tangki pam jentera dan sumber air pili bomba berhampiran sehingga kebakaran dipadam sepenuhnya.
“Semasa operasi pemadaman dijalankan, empat mangsa ditemukan terperangkap di dalam sebuah bilik yang sedang terbakar, dan mereka diselamatkan pada pukul 5.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Faiz, mangsa wanita berusia 53 tahun bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan akibat sesak nafas di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Sementara itu, tiga mangsa lain iaitu dua anak lelaki berusia 21 dan 18 tahun, serta seorang lagi anak perempuannya berusia 7 tahun masih dirawat akibat sesak nafas.
“Anggota bomba menamatkan operasi tersebut pada pukul 9.25 pagi setelah mangsa diserahkan kepada pihak hospital dan api dipadamkan sepenuhnya,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat pula memberitahu, kesemua mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut merupakan warganegara asing.
Penggerak Daily