JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal kepada dua orang anak kecil kekal tabah menjalani liku-liku kehidupan walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) selain turut mempunyai penyakit kanser.
Itu dugaan hidup dialami Norashikin Nor Azman, 30, apabila kini dia menetap bersama ibu dan bapanya di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang di sini.
Lebih memilukan, dia yang tidak dapat berjalan dengan baik tanpa bantuan orang lain itu turut menjadi mangsa banjir dan perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kediaman itu dinaiki air, kelmarin.
“Saya mengalami ketumbuhan di bahagian otak dan juga di bahagian urat saraf tulang belakang sejak berusia 17 tahun lagi. Akibat sakit itu saya tidak dapat berjalan dengan baik dan memerlukan bantuan tongkat atau dipapah orang lain.
“Saya juga telah kehilangan penglihatan di mata kanan, manakala mata kiri juga kabur dan kurang jelas dan lumpuh tangan dan kaki sebelah kiri. Pendengaran juga kurang baik sehingga memerlukan orang bercakap kuat atau hampir, baharu saya dapat mendengarnya.
“Mujurlah anak sulung saya, Darwish Ashraff Darmawan Suci, 10, banyak membantu memudahkan pergerakan saya di rumah, dia juga banyak membantu saya dalam perbualan harian dengan orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang, semalam.
Tambah Norashikin lagi, dia kini hidup dengan bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, selain sumbangan orang tua dan individu lain.
“Dahulu saya pernah bekerja kilang, namun selepas penyakit ini semakin teruk menyebabkan kesihatan kurang baik dan pergerakan fizikal saya terbatas. Jadi saya tidak lagi dapat bekerja.
“Saya telah menjalani dua kali pembedahan untuk ketumbuhan yang dialami, pertama kali melibatkan pembedahan otak pada tahun 2011, manakala kali kedua melibatkan pembedahan tulang belakang pada tahun 2019,” katanya yang bergelar ibu tunggal sejak tahun 2018.
Norashikin bagaimanapun memberikan dia perlu kekal tabah menjalani kehidupan bagi membesar dua anak lelakinya yang kini berusia 10 dan 7 tahun.
“Tidak banyak yang saya minta dalam hidup ini, tetapi saya mahu anak-anak saya membesar dengan sihat dan baik,” jelasnya ringkas.
Sementara itu, anak sulung Norashikin, Darwish Ashraff pula berharap ibunya sentiasa diberikan kesihatan.
“Saya mahu ibu sihat, saya mahu belajar dan jadi seorang anggota polis. Saya mahu bantu ibu apabila sudah besar (dewasa) nanti,” katanya ringkas.
Orang ramai yang berhasrat membantu Norashikin boleh berbuat demikian dengan menyampaikan sumbangan secara terus kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya dengan nombor akaun 0116141000076725.
Penggerak Daily