JOHOR BAHRU: Golongan ibu bapa khususnya mereka yang mempunyai anak yang baharu memulakan sesi persekolahan dalam Darjah 1 kekal teruja menghantar anak-anak mereka walaupun dalam situasi pandemik Covid-19 masih belum reda.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui menzahirkan keyakinan mereka terhadap kemampuan pihak berkuasa dan juga pengurusan sekolah dalam memastikan proses pembelajaran berlangsung mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Perunding takaful, Azizi Majid, 39, memberitahu, walaupun kebimbangan masih ada, namun dia tetap teruja melihat anaknya, Aryan Rizqi yang memasuki Darjah 1 di Sekolah Kebangsaan Sri Amar, Johor Bahru.
“Anak saya baru-baru ini telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), justeru saya harap semuanya baik-baik sahaja.
“Saya tengok dengan norma baharu sekarang ini, pihak pengurusan sekolah pun telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan virus dikalangan murid,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Mohd Firdaus Abd. Jalil, 39, pula berkata, sebagai ketua keluarga pastinya keselamatan dan kesihatan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan, namun dalam masa sama dia juga mahu anak-anak mendapat pendidikan sempurna.
“Saya akui kebimbangan itu memang ada, apatah lagi kes positif baharu masih lagi agak tinggi, namun saya juga percaya anak-anak ini perlu melalui sistem pendidikan formal seperti kanak-kanak terdahulu.
“Ini bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan sempurna dalam membentuk jati diri mereka, sebagai ibu bapa apa yang boleh kita lakukan adalah mengingatkan mereka agar sentiasa berwaspada.
“Dalam masa sama, saya juga berharap guru-guru akan sentiasa memberi peringatan kepada murid-murid agar memakai topeng pelitup muka, mungkin mereka akan terlupa kerana masih kecil lagi,” jelasnya yang merupakan bapa kepada tiga orang anak.
Sementara itu, tinjauan yang dijalankan di beberapa sekolah di bandar raya ini mendapati pembukaan sekolah bagi sesi baharu ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Penggerak Daily