Johor Bahru, 31 OKT: Program ‘Bonet MPV’ yang dicetuskan dua orang anggota Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Koperal Nornizam Nordin dan Koperal Fazrul Hisham Jaafar Sidek dari Unit Kereta Peronda (MPV), Balai Polis Alor Janggus, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Kedah ini sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka yang amat memerlukan bantuan terutamanya bagi penduduk kampung di Alor Janggus.
“Usaha murni yang dilakukan sangat membanggakan PDRM”, menurut satu hantaran di facebook PDRM.
Menurut Koperal Nornizam idea tersebut muncul ketika mereka melakukan rondaan di kawasan kampung semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang lalu di mana terdapat beberapa keluarga yang terputus bekalan makanan ekoran penularan pandemik COVID-19.
Justeru, perbincangan bersama rakan setugas dan ketua polis balai membuahkan hasil apabila sebulat suara bersetuju untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban penduduk yang memerlukan melalui program yang dinamakan ‘Bonet MPV’ ini.
Semoga usaha murni ini dan bantuan yang dihulurkan memberi seribu makna serta kegembiraan buat mereka yang memerlukan dan menjadi inspirasi buat semua.
PenggerakDaily