Oleh: Amin Jonet
Sesudah Kaabah ditimpa bencana banjir, peletakan Hajaratul Aswad, batu hitam menjadi punca selisih antara empat kabilah dalam suku Quraisy. Soalannya, kabilah mana yang paling layak mengangkat dan meletakkan Hajaratul Aswad ke tempat asalnya, setelah kerja pembaikan Kaabah selesai.
Perbalahan ini bukan saja tentang peluang meletakkan seketul batu hitam ke tempatnya, namun terikat dengan status dan darjat sesuatu kabilah. Kerana, batu itu bukan batu biasa, batu hitam itu dari langit.
Selisih punya selisih, seorang pemimpin kabilah bernama Abu Umayyah usulkan pandangan. Kata Abu Umayyah, siapa orang pertama yang masuk ke Masjidil Haram esok hari, dia yang layak tentukan kabilah mana yang akan letakkan Hajaratul Aswad. Semua kabilah setuju, demi jalan damai.
Keesokannya, orang yang pertama masuk ke Masjidil Haram ialah Muhammad bin Abdullah, rasul terakhir.
Orang terawal masuk Masjidil Haram, Muhammad diberi kepercayaan untuk selesaikan masalah Hajaratul Aswad itu tadi. Muhammad bentang serbannya dan meletakkan batu tersebut di tengah-tengah serbannya. Kemudian, Muhammad menyuruh setiap wakil kabilah memegang penjuru serban dan meletakkan batu itu ke tempatnya.
Saya kira, itulah kali pertama Muhammad berdepan dengan politik Mekah secara langsung sehingga digelar Al-Amin. Sebelum mendapat wahyu lagi, Muhammad telah mengajar kita, penyelesaian politik paling berhikmah ialah dengan penyatuan, diplomasi dan damai. Bukan perpecahan dan perang.
Tidak bolehkah kita belajar dari Muhammad untuk uruskan bagaimana golak politik nasional pada 2020 ini?
Pasti ada yang membanding, politik zaman Muhammad pada 1500 tahun dulu tidak rumit dan ‘sophisticated’ berbanding politik pada 2020.
Robert N Bellah pernah sebut, ‘masyarakat Madinah yang dibangunkan Muhammad merupakan masyarakat moden walaupaun masyarakat di Timur Tengah ketika itu belum mengenal teknologi dan prasarana moden untuk membentuk masyarakat moden.
Sama seperti Malaysia yang plural dan pelbagai, Madinah ketika itu terdiri dari berbilang agama dan keturunan. Bagaimana Muhammad uruskan kepelbagaian di Madinah? Dalam gerak politik, Muhammad bangunkan manifesto politiknya yang dikenal sebagai Mitsaq al-Madinah, atau Piagam Madinah.
Piagam yang dibentuk pada 622 masihi merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Lihat, sebelum terbentuknya negara moden yang muncul selepas perang dunia kedua, Madinah sudah ada perlembagaan.
Dengan 47 fasal, piagam ini terbahagi kepada dua; hubungan antara orang Islam dengan orang Islam (Muhajirin dan Ansar), kedua hubungan antara orang Islam dengan orang bukan Islam (Islam dan Yahudi).
Pokoknya, manifesto politik atau perlembagaan bertulis pertama di dunia ini mengajar kita sebagai manusia moden untuk mengurus kepelbagaian dan polemik dengan baik, damai dan berhikmah. Bukankah itu yang kita harapkan pada pemimpin-pemimpin sekarang?
PenggerakDaily
Amin Junit merupakan pemerhati sosial berkelulusan ijazah Sains Politik dari institusi pengajian tinggi tempatan.