JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) nafi dakwaan kerja naik taraf kemudahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bertujuan menyukarkan rakyat Malaysia di Singapura pulang mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud sebaliknya berkata, perancangan kerja-kerja naik taraf berkenaan telah mula dirancang sejak tahun lalu dengan meliputi laluan bas, motosikal dan juga kereta bertujuan untuk memudahkan pergerakan keluar masuk pengembara.
Menurut beliau, Jabatan Imigresen juga akan berkongsi sepenuhnya dengan keanggotaan seramai 1,200 pegawai di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan 670 pegawai di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
“Kita tidak menjangka akan berlaku kesesakan luar biasa di dua pintu masuk negara di Johor menjelang PRU15 terutamanya dalam tempoh antara 16 hingga 19 November ini, berbeza berbanding ketika Deepavali kerana pada hari itu warga Singapura turut masuk Malaysia kerana bercuti.
“Tetapi, untuk PRU15 ini, ia hanya melibatkan rakyat Malaysia dan mereka yang bekerja di republik itu yang melakukan perjalanan harian, dengan anggaran seramai 200,000 orang di BSI dan kira-kira 100,000 orang di KSAB, sehari.
“Untuk itu, kita juga telah melakukan pelbagai penambahbaikan dan kerja naik taraf bagi melancarkan operasi dan memudahkan rakyat Malaysia pulang mengundi dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di BSI, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir.
Tambah Khairul Dzaimee, di BSI, kerja-kerja naik taraf dibuat melibatkan laluan bas, 20 ‘auto gate’ yang berusia lebih 10 tahun telah diganti dan akan beroperasi sepenuhnya pada 15 November ini.
“Bagi laluan masuk kereta dari Singapura, tambah baik melibatkan kaunter dibuat dengan menggabungkan dua kaunter bagi pemeriksaan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan serta PLUS yang sebelum ini di dua kaunter berlainan.
“Hasil penggabungan ini, kecekapan perjalanan trafik dapat ditingkatkan dengan penjimatan masa antara 10 hingga 11 saat untuk sebuah kenderaan. Manakala, bagi laluan motosikal, 45 kaunter laluan automatik dan lima laluan manual sudah siap diselenggara dan dalam keadaan yang baik,” jelasnya.
Sementara itu, bagi laluan KSAB di Iskandar Puteri, Khairul Dzaimee pula memberitahu, 24 laluan kenderaan dengan 12 laluan kontra telah disediakan sekiranya berlaku kesesakan jalan raya luar biasa dalam tempoh mengundi.
“Dalam pada itu, kita juga menggalakkan pengembara untuk menggunakan perkhidmatan kereta api dari Woodlands ke BSI yang mana urusan pasport dibuat di Woodlands, jadi mereka tidak perlu berbaris dan boleh terus turun di BSI dan meneruskan perjalanan,” ujarnya.
Khairul Dzaimee juga memberitahu majoriti pegawainya di BSI dan KSAB akan mengundi secara pos dalam PRU15, manakala yang lain akan mengundi secara bergilir bagi memastikan pengoperasian di kedua-dua laluan darat berkenaan lancar.
Penggerak Daily