JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor telah menahan seramai 44 warga asing termasuk 42 wanita yang dipercayai berkhidmat sebagai ‘flower girl’ di pusat-pusat hiburan sekitar Iskandar Puteri, di sini Jumaat lalu.
Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, kesemua wanita warga asing itu ditahan menerusi Ops Gegar yang dijalankan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor yang dijalankan pada pukul 12.10 tengah malam.
“Serbuan itu dijalankan ekoran aduan awam yang diterima mendakwa terdapat wanita warga asing yang bekerja tanpa permit sah di premis hiburan selain turut melakukan perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang tempatan.
“Siasatan awal dibuat mendapati ‘flower girl’ berkenaan menerima bayaran antara RM50 hingga RM500 daripada pelanggan berdasarkan layanan diberi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Baharuddin, mereka yang ditahan melibatkan seramai 40 wanita Thailand, selain masing-masing seorang wanita Indonesia dan Myanmar.
“Turut ditahan dua lelaki asing masing-masing warga China dan Bangladesh. Mereka semua berusia antara 25 hingga 45 tahun. Hasil siasatan mendapati kesemua mereka yang ditahan telah menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“Sehubungan itu, mereka telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial,” ujarnya.
Sementara itu, Baharuddin turut memaklumkan kejayaan pihaknya menahan seramai 63 warga asing yang didapati bekerja tanpa permit sah sepanjang tempoh seminggu Ramadan ini.
“Tangkapan tersebut dibuat bermula 13 Mac hingga semalam, dengan keseluruhan sebanyak 26 premis di sekitar bandar raya ini telah diserbu.
“Antara yang ditahan termasuklah warga Nepal, India, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Filipina serta Myanmar. Kesemua mereka berusia antara 3 hingga 61 tahun telah ditahan,” katanya sambil memberitahu tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Penggerak Daily